Tampilkan postingan dengan label Sarawak. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Sarawak. Tampilkan semua postingan

Senin, 20 Januari 2014

Jelajah Petrosains ke Pedalaman!


'Hidup Memerlukan Pengorbananan. Pengorbanan Memerlukan Perjuangan. Perjuangan Memerlukan Ketabahan. Ketabahan Memerlukan Keyakinan'. Inilah mutiara kata yang dipegang oleh setiap warga kerja Petrosains yang bergelar fasilitator sains kerana sanggup berkorban demi mendidik anak-anak bangsa kaum pribumi di Sabah dan Sarawak.  Siri jelajah ke kawasan pedalaman ini adalah program Petrosains-PETRONAS Science Educamp. Penjelajahan bermula dari tahun 2005 sehingga sekarang dan pastinya akan diteruskan pada masa akan datang.

Program Petrosains-PETRONAS Science Educamp ini dikhaskan untuk para pelajar di kawasan-kawasan pedalaman di negeri Sabah dan Sarawak. Di antara kawasan pedalaman yang pernah dijelajahi adalah di Mukah, Bario, Long Lama, Long Bedian, Long Napir dan banyak lagi.


Inilah gambaran perjalanan yang dilalui oleh fasilitator-fasilitator sains ke salah satu destinasi pedalaman mereka. Dari Kuala Lumpur terbang ke Sibu. Dari Sibu pergi ke Daro. Sekurang-kurangnya 3 jam lagi perjalanan menaiki pacuan empat roda di atas jalanraya yang tidak rata. Demi niat murni untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat pribumi, perjalanan diteruskan lagi. Mereka terpaksa meredah dan menyeberangi sungai menaiki feri atau bot-bot kecil sebelum sampai ke destinasi. Namun begitu, pengisian program selama 4 hari 3 malam ini pastinya meninggalkan pelbagai kenangan manis dan pahit. Melalui program ini para pelajar dan guru-guru memperoleh manfaat daripada pembelajaran sains berasaskan 'hands-on'. Program ini selalunya boleh menampung penyertaan 100 orang pelajar sekolah rendah dan diiringi oleh 7 orang guru.
Mereka yang tinggal di kawasan pedalaman sering beranggapan sains itu sukar. Pendekatan pembelajaran melalui 'hands-on' mampu menarik minat para pelajar melalui aktiviti sains menggunakan bahan-bahan yang mudah diperolehi seperti botol plastik, kotak, penyedut minuman dan suratkhabar. Secara tidak langsung  ia juga dapat memberi idea baru kepada guru-guru untuk mengunakan bahan dan sumber yang terdapat di sekeliling di dalam bilik darjah. Dengan cara ini, ia mampu mewarnakan lagi teknik pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah. Sebagai contoh, aktiviti membina lampu suluh dengan menggunakan botol air terpakai di samping mempelajari konsep sains elektrik dan sekaligus melatih kemahiran saintifik termasuk menggalakan para pelajar untuk berfikiran kritis dan kreatif. Namun,cabaran utama ketika mengendalikan program adalah bahasa. Ini adalah kerana mereka menggunakan bahasa kaum mereka sendiri. Misalnya kaum iban bertutur dalam bahasa iban. Dengan pertolongan daripada guru-guru sebagai penterjemah bahasa, program ini mampu diteruskan.


Sudah semestinya pelbagai cabaran yang terpaksa diharungi ketika menjalankan tugas  ke kawasan-kawasan pedalaman ini. Namun, ia akan memberi rasa kepuasan apabila melihat sendiri anak-anak pribumi ini berjaya kelak. Pastinya memori indah terpahat pada kanak-kanak ini kerana mereka adalah di antara golongan yang jarang mendapat peluang untuk menonjolkan keupayaan mereka di mata dunia.

Kesan-kesan yang diperoleh melalui program ini tentunya positif. Guru-guru berkongsi maklumat  mengatakan bahawa para pelajar sudah mula meminati subjek sains. Ada yang dahulu seorang pendiam, kini sudah berani untuk mengangkat tangan di dalam bilik darjah untuk menjawab soalan. Menurut guru-guru juga,  program ini juga telah menunjukkan yang para pelajar sudah mula rajin untuk ke sekolah tanpa dipaksa. 

Sentiasa berterima kasih dengan apa yang kita ada pada hari ini kerana ada ramai lagi insan lain di luar sana yang masih berada dalam keadaan kekurangan. Pengalaman ke kawasan pedalaman ini juga sedikit sebanyak memberi iktibar kepada kita semua. Ia juga membuka mata kepada golongan yang lebih berkemampuan supaya sentiasa menghargai apa yang ada di depan mata. Petrosains dengan sokongan PETRONAS akan sentiasa menjalankan usaha-usaha ini untuk menyumbang balik kepada komuniti dalam bidang pendidikan dan pembelajaran tidak formal.





Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains